07 April 2012

Dahaga, Hujan di Monona dan Tulisan pada Nisan

oleh Nirwan Dewanto

Dahaga

–kepada Andy Warhol

Kau mencuri dari lidahku
Merah muda belia
Atau putih semenjana
Untuk melunakkan coklatmu.

Kau hidup berkalang es
Untuk menyelamatkan aku
Dari kentang goreng Prancis
Pencengkeram urat leherku.

Betapa daging bakar Argentina
Gagal (lagi) berjodoh denganmu
Tapi bakmi kerinting di Shanghai
Bisa masuk ke perangkapmu.

Meski (masih) tumbuh dewasa
Oleh kopi pahit Sidikalang
Lidahku belajar berkhianat juga
Oleh rasa jejarum manismu.

Kau rajin mencabuti akarku
Supaya aku membubung tinggi
Ketika puisi ini kering bertanya
Coklat itu darahmu atau hujanmu.

Tapi (diam-diam) masukilah aku
Seperti sayap dari Timbuktu
Jadikanlah puisi ini ringan belaka
Seperti kaki gila pemain bola

Namamu Coca Cola, bukan?

(2009)

Hujan di Monona

Mengelabui kaca jendela, tangan hujan.
Tertinggal di ranting Mapel, rambut hujan.
Mengulum tampuk peoni, mulut hujan.
Terlipat di pinggir danau, jubah hujan.
Mengiris roti panjang malam, pisau hujan.
Terdampar ke cermin subuh, mata hujan.
Menjemput kaki kelinci, sepatu hujan.
Terantuk kalimat lebat, titik hujan.

(2009)

Tulisan pada Nisan

Kuucapkan selamat tinggal kepadanya,
Meski aku tetap terjatuh ke haribaannya.

Kukenakan pakaian panjang putih. Supaya ia
Leluasa menodaiku. Mungkin menghitamkanku.

Masih ada bercak darah kubawa, ternyata.
Ia berkata seseorang menembakku di Gaza.

Ia bertanya kenapa aku bergegas ke mari.
Kujawab tidak. Sudah kulupakan matahari,

Sebab terang bukan milikku dan percayalah
Namaku telanjur terpahat di batu gamping ini.

Ia bumi, bukan? Aku belajar mencintainya?
Ketika kalian berebut wajahnya nun di atasku.

(2010)

puisi ini pertama kali tersiar di Jalan Telawi pada 25 Mac 2012 dan penulis akan berkunjung ke Pulau Pinang pada 15 April nanti, satu sesi diskusi akan diadakan di USM jam 10 pagi. Untuk maklumat lanjut, sila emel ke frinjan@gmail.com. Terima kasih.

03 April 2012

Melawan dengan hartal dan nyepi

Oleh Zulhabri Supian

Beberapa tahun lepas, lebih tepat pada 2007 saya diperkenalkan dengan kata “hartal” menerusi sebuah filem dokumentari berjudul “Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka” yang disutradai aktivis dan pekerja seni, Fahmi Reza.

Kata hartal dimaknai di India (kata hartal berasal dari sini) sebagai satu cara perlawanan besar-besaran rakyat India menuntut kemerdekaan dari penjajah British dengan menutup tempat kerja, pejabat, kedai, mahkamah dan sekolah. Dalam erti kata lain, masyarakat tidak bekerja dan melakukan urusan seharian lainnya.

Mengutip dari Amin Iskandar, “Hartal adalah salah satu bentuk ‘civil disobedient’ yang dilakukan untuk menuntut sesuatu perkara ataupun membantah sesuatu perkara. Ia adalah satu tindakan untuk menuntut kerajaan, pemerintah ataupun penjajah untuk menukar sesuatu keputusan yang tidak popular ataupun menindas rakyat.”

Dalam konteks Malaya pada waktu itu (hartal terjadi pada 20 Oktober 1947), hartal di seluruh negara dianjurkan oleh PUTERA-AMCJA sebagai membantah pindaan cadangan Perlembagaan Federation yang dibawa oleh penjajah British dan menerusi aksi ini PUTERA-AMCJA telah berjaya mempopularkan Perlembagaan Rakyat yang dibawa mereka sebagai alternatif. Aksi hartal ini dimaknai juga sebagai perjuangan rakyat menuntut demokrasi dan kemerdekaan dari penjajah kolonial.

Denpasar di saat Nyepi.
Dalam aksi ini, tempat-tempat berikut telah ditutup dari jam 6 pagi hingga ke tengah malamnya; pasar, pejabat, wayang, taman-taman hiburan, kedai, mahkamah, sekolah dan banyak lagi, manakala aktiviti kerja bagi pekerja ladang, pelombong dan nelayan turut dihentikan. Apa yang terjadi kemudiannya menjadi sejarah yang harus kita luruskan.

Menuju babak akhir filem ini, saya terkesan dengan visual kota-kota dan pekan-pekan yang lengang dan tiada aktiviti, sepi sekali.

Hari Raya Nyepi

Pada jumaat lalu, 23 Mac saya berkesempatan meraikan perayaan Hari Raya Nyepi (Nyepi) yang disambut masyarakat Hindu di Bali dan sekali imbas perayaan ini mengingatkan saya tentang visual sepi saat hartal yang saya sebut tadi. Bayangkan Pulau Bali yang sentiasa hiruk pikuk terutama di Denpasar dan Kuta bagaikan sebuah kota/pulau mati di mana jalanan sepi, pelabuhan, terminal dan lapangan terbang ditutup dan siaran radio serta televisyen dihentikan selama 24 jam mulai jam 6 pagi.

Menurut buku “Yadnya dan Bhakti” oleh Ketut Wiana, terbitan Pustaka Manikgeni, “Umat Hindu Bali merayakan Nyepi sebagai pergantian tahun baru Saka dengan melakukan ‘catur brata penyepian’ dengan tidak menyalakan api termasuk memasak, berpuasa, tidak bekerja terutama bagi umat kebanyakan, tidak berpergian dan tidak mencari hiburan. Sedangkan bagi mereka yang sudah tinggi rohaninya, melakukan yoga tapa dansamadhi. Tujuan utama ‘catur brata penyepian’ adalah untuk menguasai diri, menuju kesucian hidup agar dapat melaksanakan dharma sebaik-baiknya menuju keseimbangan dharma, artha, kamadan moksha.”

Ketua Forum Kerukunan Umat Beragama Bali, Ida Bagus Gede Wiyana menambah, “Nyepi pertama kali diadakan pada tahun 78 Masehi, pada waktu itu Nyepi untuk menyatukan beberapa sekte agama yang rawan konflik. Makanya momen Nyepi sangat relevan dengan kondisi saat ini.”

Jika diperhatikan falsafah Nyepi mengandungi erti dan makna yang relevan dengan tuntutan masa kini, World Silent Day yang digagas dunia menyatakan bahawa di saat Nyepi 20,000 ton karbon dioksida tidak berada di langit Bali kerana motorsikal, kereta dan kilang dilarang beroperasi.

Momentum pelaksanaan Nyepi merupakan momen berguna untuk semakin memupuk rasa cinta kasih sesama umat manusia dan kepada semua makhluk Tuhan baik tumbuh-tumbuhan, haiwan mahupun para serangga kecil

Cinta dan kasih sangat dirasai pada Nyepi tahun ini di mana semangat toleransi antara umat Hindu dan Islam di Bali terwujud di dalam melaksanakan Nyepi dan solat Jumaat secara harmoni. Akhbar Kompas 24 Mac melaporkan kenyataan Imam Masjid An-Nur, Hoesin Muhtar bahawa toleransi umat beragama di Bali mengalami kemajuan di mana pemerintah membenarkan umat Islam yang tinggal berjauhan dari masjid dan tidak boleh berjalan kaki kerana jauh dapat menggunakan bale banjar desa setempat (seperti pusat Rukun Tetangga dan JKKK di Malaysia) untuk solat.

Perarakan pawai ogoh-ogoh.
Dalam laporan yang sama, Ariyanto mengaku lebih khusyuk mengikuti solat Jumaat pada hari Nyepi kerana suasananya tenang, tidak seperti hari biasa ketika di luar masjid sangat bising dengan suara kenderaan bermotor.

Selain hari Nyepi itu sendiri, malam sebelumnya juga tidak kalah menarik di mana tradisi berarak dengan membawa pawai ogoh-ogoh atau replika raksasa di saat Hari Pengerupukan yang melibatkan hampir seluruh penduduk setiap desa sentiasa ditunggu-tunggu warga mahupun pelancong. Setelah diarak berkeliling desa, ogoh-ogoh itu dibakar dan dimusnahkan sebagai simbol perlawanan terhadap butakala atau makhluk jahat. Fenomena pembuatan ogoh-ogoh tambah menarik kebelakangan ini apabila ogoh-ogoh wajah para koruptor turut dibuat sebagai penzahiran rasa marah dan benci rakyat terhadap sang koruptor yang disimbolkan sebagai makhluk jahat. Wajah paling popular tahun ini adalah tersangka koruptor, M. Nazarudin.

Nyepi menurut saya istimewa kerana hanya di belahan dunia bernama Bali ini sahaja ia dapat dilakukan warga dengan dukungan negara sementara World Silent Day yang diadakan setiap tanggal 21 Mac masih bersifat sukarela.

Melawan haloba

Hartal dan Nyepi menurut saya memiliki kebersamaan dari sifatnya yang melawan — satunya melawan penjajah yang rakus dan zalim kepada rakyat yang dijajah sementara satunya lagi melawan kapitalis yang juga rakus dan zalim kepada bumi Bali dengan merampas tanah, membina hotel dan pusat membeli belah dan kemudian mencemarinya. Kedua-duanya jenis manusia tamak haloba.

Saya sentiasa tertanya-tanya apakah yang dilakukan dan difikirkan warga Malaya di saat berlangsungnya hartal dan warga Bali di saat Nyepi. Saya sendiri waktu Nyepi dihabisi dengan membaca buku dan “mencintai” sesama teman-teman yang kebetulan selain Hindu juga ada Muslim dan Kristian. Menurut saya, saat kesepian juga momen terbaik untuk meneguhkan iltizam kita untuk terus melawan ketidakadilan yang berlaku dan para manusia tamak haloba.

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 27 Mac 2012

29 March 2012

Pekan Frinjan 28: Seni, Fesyen dan Aktivisme





Pekan Frinjan adalah acara bulanan yang mempersatukan muzik, puisi, teater, fesyen, aktivisme, buku dan macam-macam. Edisi yang ke 28 akan berlangsung di Kompleks Belia & Kebudayaan Selangor pada hari jumaat, 30 Mac.


Tempat: Kompleks Belia & Kebudayaan Selangor di Seksyen 7 Shah Alam (depan UNISEL dan bersebelahan Taman Tasik Seksyen 7)
Tarikh: 30 Mac 2012, Jumaat
Masa: 8 malam (bazar bermula jam 5 petang)

Barisan pengkarya:

- Azmyl Yunor & The Sigarettes
- House Of Five
- Wani Ardy
- Sleeq feat Najwa Latif
- The Alif
- Juxtaposed

- Kolektif Mas Joko & Buku Jalanan
- Athina Marzuki
- Perewa Muda
- Promo novel KOPI: kumpulan 19 cerpen Fixi

Baucar buku RM200 boleh digunakan di booth Distro Buku, Selut Press, Gerakbudaya & Lejen Press!

Pelbagai buku-buku baru dari penerbit kecil dan besar boleh diperolehi di sini. Tidak lupa untuk untuk yang suka berfesyen dan membeli belah apa saja, puluhan gerai menanti :)


Tentang Pekan Frinjan

Pekan Frinjan adalah salah satu inisiatif kelompok Frinjan bertujuan untuk membudayakan masyarakat. Ini dilakukan dengan membawa pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan terus kepada masyarakat umum, khususnya di laman massa dan jalanan.

Dengan mempersembahkan seni dan budaya dalam bentuk “pop”, diharapkan masyarakat akan terus mahu mendekati bahan berteraskan intelektualisme. Ini penting dalam membentuk sebuah negara dan persekitaran bertamadun yang tidak hanya mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata.

20 March 2012

Sambutan hari lahir ke-70 Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh mempersembahkan Pak Goenawan Mohamad




http://penanginstitute.org/v3/events/upcoming-events/241-9-14-sambutan-hari-lahir-ke-70-sasterawan-negara-prof-muhammad-haji-salleh

Sambutan hari lahir ke-70 Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh (Terbuka kepada umum)

“Sireh Pulang ke Ganggang” - Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh
Tarikh: 14 April 2012
Time: 8.30am
Tempat: Auditorium C KOMTAR

Sambutan Hari Lahir ke-70 Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh
Tarikh: 14 April 2012
Masa: 8.00pm
Tempat: Auditorium A KOMTAR

Pameran Karya Sasterawan Negara
Tarikh: 9 – 14 April 2012
Tempat: Ruang Legar, Tk.3, KOMTAR

Latar Belakang:

Salah satu warisan budaya yang paling istimewa terdapat pada Pulau Pinang ialah tradisi dan khazanah persuratannya, khususnya persuratan Melayu, sejak berzaman. Antara bintang-bintang paling gemerlap dalam sejarah Malaysia yang lahir di Pulau Pinang atau menjadikan negeri ini sebagai pusat kegiatan mereka ialah Syed Syeikh Alhadi, Ahmad Rashid Talu, Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Latif Mohiddin, dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (MHS) yang mendapat pendidikan awal di Bukit Mertajam, memulakan kerjayanya di Butterworth dan menjadikan negeri ini sebagai pusat kegiatannya sejak puluhan tahun lalu.

MuHS bukan sahaja merupakan salah seorang Sasterawan Negara terbaik, malah ahli akademik yang amat banyak berjasa terhadap pembangunan bahasa dan sastera Melayu. Kesempatan ini dapat dijadikan salah satu langkah pertama oleh PI untuk menempatkan diri sebagai pencetus dan pemangkin utama bagi kegiatan kebudayaan di Pulau Pinang serta melakar reputasi sebagai salah satu lembaga yang paling dipercayai dan dihormati oleh para pencinta Bahasa Melayu.

Menerusi acara sambutan ini Penang Institute dapat membuktikan bahawa hasrat yang dinyatakan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar pilihan para penggiat kebudayaan dan kesenian serta hasratnya untuk menghidupkan semula negeri ini sebagai pusat kegiatan persuratan bukan sekadar pemanis mulut, terutama setelah ia beberapa kali telah berjaya menganjurkan Forum Nusantara. Dengan penglibatan Goenawan Mohamad, sasterawan kelas dunia yang paling berpengaruh di Indonesia, program ini akan menjadi salah satu acara bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh Penang Institute.

Pengumuman:

Pada keesokan harinya 15 April pagi, satu perjumpaan/sesi diskusi akan diadakan bersama Nirwan Dewanto yang akan didahului dengan sarapan pagi bersama Goenawan Mohamad. Sesiapa yang berminat untuk turut serta dalam sesi diskusi tertutup ini silakan emel ke frinjan@gmail.com. Terima kasih.



Goenawan Mohamad

Pendiri dan pemimpin redaksi majalah berita Tempo (1971-1998). Ia juga dikenal sebagai penyair, esais, dan intelektual publik. Kumpulan esainya antara lain Seks, Sastra, Kita (1980); Kekuasaan dan Kesusastraan (1993); Catatan Pinggir (kini mencapai tujuh jilid); Setelah Revolusi Tak Ada Lagi (2001), Kata, Waktu (2001); Eksotopi (2002), dan Tuhan dan Hal-hal yang Tak Selesai (2009). Terjemahan bahasa Inggris atas esainya dikerjakan oleh Jennifer Lindsay dan terbit sebagai Sidelines (1994) dan Conversations with Difference (2002).

Goenawan telah menerbitkan enam buku puisi: Parikesit (1971), Interlude (1973), Asmaradana (1992), Misalkan Kita Di Sarajevo (1998), Sajak-sajak Goenawan Mohamad: 1961-2001 (2001) dan Goenawan Mohamad: Selected Poems (2004), diedit oleh Laksmi Pamuntjak. Ia juga menulis tiga libreto untuk opera kontemporer: Kali, The King’s Witch, dan Tan Malaka. Di samping menulis lakon untuk wayang kulit, yakni Wisanggeni dan Alap-alapan Surtikanti, Goenawan telah menulis dua naskah teater: Surti dan Tiga Sawunggaling dan Visa. Ia pernah menyutradarai pementasan dua tari, Panji Sepuh dan Dirada Meta, sebuah tari klasik dari Keraton Mangkunegaran.


Nirwan Dewanto

Menulis puisi, esai, maupun genre-genre sastra yang lain. Ia pernah menempuh sejumlah program residensi, antara lain di International House di Tokyo, Jepang; University of Wisconsin di Madison, Wisconsin, USA; International Writing Program di University of Iowa, Iowa City, USA. Buku puisinya adalah Jantung Lebah Ratu (2008).

02 March 2012

Melawan lupa

Oleh Zulhabri Supian
“Masa lalu adalah lembaran sejarah dan terselip sebuah ingatan yang hendak selalu mengantarkan kita untuk bisa duduk bersama saling menemani dan memahami, kemudian untuk dapat meletakkannya dan merefleksikan atas apa yang telah terjadi. Bila mungkin menjadikan sebuah titik bias dalam semua bentuk kegiatan kita. Buat semua yang telah pernah hadir disini untuk berbagi, sediakanlah selalu ruang dalam hatimu untuk sebuah lembaran ingatan yang hampir terhapuskan untuk belajar bersama agar sejarah yang buruk tidak terulang di masa depan”
Ayat di atas merupakan pengenalan rasmi sebuah komuniti yang berpusat di Denpasar, Bali iaitu Komunitas Taman 65. Menurut salah seorang aktivis di Taman 65, Ngurah Lengkonk Termana, “Taman 65 selain tempat melepak teman-teman, turut diadakan penayangan filem, gig, diskusi dan sebagainya sekitar isu pembantaian di Indonesia 1965/1966 terutama di Pulau Bali”.

Dikutip dari Wikipedia, “Pembantaian di Indonesia 1965-1966 adalah peristiwa pembantaian terhadap orang-orang yang dituduh komunis di Indonesia pada masa setelah terjadinya Gerakan 30 September di Indonesia. Diperkirakan lebih dari setengah juta orang dibantai dan lebih dari satu juta orang dipenjara dalam peristiwa tersebut. Pembersihan ini merupakan peristiwa penting dalam masa transisi ke Orde Baru: Partai Komunis Indonesia (PKI) dihancurkan, pergolakan mengakibatkan jatuhnya presiden Soekarno, dan kekuasaan selanjutnya diserahkan kepada Soeharto”.

Pada khamis lalu, 23 Februari saya berkesempatan mengikuti pertemuan bersama mangsa-mangsa pembantaian 1965/1966 yang terjadi di di sebuah kampung yang letaknya berdekatan dengan tempat pelancongan ternama di pulau Bali. Pertemuan itu diatur oleh Institut Sejarah Sosial Indonesia (ISSI), Lembaga Studi dan Advokasi Masyarakat (ELSAM) dan Komunitas Taman 65.

Menurut Razif, salah seorang aktivis ISSI, “kami melakukan penelitian tentang peristiwa 1965 sejak tahun 2000 dengan kerjasama ELSAM melaui metode sejarah lisan dan pertemuan di kampung ini merupakan kesinambungan atas kerja penelitian kami selama ini. Kami juga telah menerbitkan 2 buah buku berkisar peristiwa 1965 iaitu, Tahun yang Tak Pernah Berakhir (2004, kumpulan esai) dan Dalih Pembunuhan Massal (2008, John Roosa).

Pertemuan yang diadakan di rumah Bapak Made (bukan nama sebenar dan salah seorang mangsa yang dipenjara) itu dihadiri sekitar belasan mangsa langsung atau tidak langsung persitiwa tersebut. Sesi pertama bermula dengan pengenalan diri dari pihak ELSAM, ISSI, Taman 65 dan saya sendiri dan seterusnya dari pihak mangsa.

Bapak Made menceritakan pada saat kejadian berlaku beliau aktif sebagai aktivis buruh di Serikat Sekerja untuk pekerja bank milik negara di Jakarta dan dipenjara selama 6 bulan. Setelah dibebaskan beliau pulang dan mendapati dari 18 keluarga di kampungnya, 3 keluarga dibunuh dan 11 keluarga dipenjarakan kerana disyaki ahli dan simpatisan PKI.

Tambah Bapak Made, pembantaian ini sangat tragis kerana kerap terjadi mangsa yang dibunuh itu nama mereka diberi oleh kaum keluarga atau penduduk kampung sendiri yang dikeranakan juga atas faktor peribadi. Maka yang menjadi mangsa bukan sekadar ahli atau simpatisan PKI, tetapi mangsa perbalahan individu di antara keluarga dan penduduk kampung. Tambah beliau lagi, kadangkala si pelaku pembunuhan terdiri dari kaum keluarga atau sanak saudara dan si pelaku juga diancam sama ada membunuh atau jika tidak dibunuh.

Salah seorang anak mangsa yang bapanya dibunuh, Nyoman (bukan nama sebenar) menambah bahawa pembantaian yang terjadi merupakan permainan politik Soeharto yang licik dengan secara bertahap menghapuskan tokoh masyarakat, intelektual, pemikir, seniman baik mereka PKI atau tidak kerana tokoh-tokoh seperti ini berpotensi mengancam kekuasaan beliau nantinya. Bapa beliau merupakan seorang seniman gamelan yang cukup terkenal dan sempat diundang ke Czechslovakia dan Soviet Union, malah bunyi gamelan warisan beliau yang dimainkan di balai banjar (seperti pejabat JKKK) yang terletak bersebelahan mengiringi hampir seluruh pertemuan kami.

Sesi seterusnya disambung dengan pembentangan atau perkongsian cerita dari pihak ISSI tentang perjalanan penelitian yang telah mereka lakukan sejak tahun 2000 bersama para mangsa di belahan Indonesia yang lain seperti di Solo dan Palu seraya menjelaskan bahawa mangsa di Bali tidak terpisah dan bersendirian dalam usaha mengungkap kebenaran dan keadilan di dalam persitiwa ini.

Pihak ISSI turut menyatakan bahawa hasil penelitian mereka telah diserahkan kepada Komisi Nasional Perempuan (Komnas Perempuan) seterusnya diserahkan pula kepada Presiden SBY untuk tindakan lanjut. Tambah ISSI, apa yang diingini kebanyakan mangsa tidak banyak, cuma tiga iaitu pengungkapan sejarah yang sebenar, pengemaskinian sejarah yang diajar di sekolah tentang persitiwa tersebut dan anak-anak mereka tidak didiskriminasi di sekolah.

ELSAM pula berkongsi bagaimana perjuangan menuntut pembenaran sejarah peristiwa 1965 diungkap dalam bentuk kesenian dengan diadakan kegiatan konsert Hak Asasi Manusia menampilkan band tersohor dari Bali, Superman is Dead di Taman Ismail Marzuki pada 2010, pameran lukisan, seni grafiti di jalanan dan penerbitan tulisan-tulisan kreatif di dalam bentuk buku.

Sesi terakhir secara santai diadakan pendiskusian dan saya sempat diminta memberi analisa banding di antara Malaysia dan Indonesia. Secara umum saya mengatakan bahawa di Malaysia pembantaian golongan kiri/komunis dilakukan lebih awal sebelum kemerdekaan iaitu pada 1948 dicapai berkat kerjasama penjajah British dan elit politik Umno pada waktu itu, sedangkan di Indonesia euforia rakyat menumbangkan penjajah Belanda pada 1945 menghilangkan sejenak kiri atau kanan ideologi politik demi sebuah kemerdekaan.

Tambah saya, menariknya tatkala tokoh-tokoh tertinggi PKI/gerakan kiri dihilangkan terus nyawanya, sebaliknya pula tokoh-tokoh tertinggi PKM/gerakan kiri masih terus bebas walaupun tidak di tanah air dan untungnya kami generasi muda di Malaysia beroleh peluang untuk membaca buah fikiran mereka yang diterbitkan dalam bentuk buku dan filem seperti “Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka” dan “Revolusi 48” yang disutradarai oleh Fahmi Reza.

Agen pelupaan

Semasa zaman pemerintahan Soeharto, buku teks sejarah sekolah di Indonesia mengajarkan bahawa peristiwa G30S merupakan percubaan kudeta yang dituduhkan kepada Partai Komunis Indonesia dan ramai yang masih percaya kepada versi ini hingga sampai sekarang.

Meskipun begitu semakin ramai generasi muda yang cuba melihat semula peristiwa ini dengan membaca pelbagai buku kontra kepada versi pemerintah Soeharto yang mudah didapati di kedai-kedai buku, terima kasih kepada Mahkamah Konstitusi yang memutuskan mencabut Undang-undang nomor 4/PNPS/tahun 1963 yang membolehkan Kejaksaan (peguam negara) melarang buku. Versi sejarah mana yang benar hanya keberanian politik dan masa menentukan.

Namun harus diingat, sejarah sebagai ilmu pengetahuan tidak mampu menjamin adanya kebenaran tunggal. Sejarah memberikan ruang bagi setiap pihak untuk memberikan makna yang berbeza pada satu fakta yang sama.

Sampai saat ini di seluruh Indonesia pembicaraan sekitar peristiwa ini masih menjadi isu sensitif. Maka tidak menghairankan tatkala Taman 65 berinisiatif untuk membuka jalan kepada pembenaran sejarah, usaha mereka dipandang negatif dan dikritik atas pelbagai alasan, baik rasa trauma yang masih menebal dan rasa keselesaan yang dikecapi kini.

Banyak korban 65 yang memilih untuk melupakan peristiwa ini setelah kesuksesan hidup yang akhirnya berhujung pangkal terjadinya ruang kosong di antara generasi tua dan generasi muda. Ini sangat disayangkan tentunya kerana korban turut menjadi agen pelupaan negara. Soalnya bagaimana generasi muda mampu ke depan sekiranya sejarah lampau mereka ditutup-tutupi.

Meskipun begitu ada khabar baik seperti dilaporkan akhbar Kompas, 19 Februari 2012. Disana Presiden SBY mengisyaratkan akan bersedia meminta maaf atas kes pelanggaran hak asasi manusia (HAM) yang terjadi di masa lampau. Hal ini muncul ditengah pertemuan Komisi Untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (Kontras) bersama korban dan keluarga korban pelanggaran HAM bertemu anggota dewan pertimbangan Presiden pada hari Jumaat, 17 Februari 2012. Sama ada isyarat beliau akan disertai dengan aksi sekali lagi hanya keberanian politik dan masa yang akan menentukan. Jika ia benar terjadi perlawanan untuk melawan lupa akan menjadi semakin mudah.

Malaysia turut lupa

Bagaimana kita di Malaysia? Kita tidak jauh bezanya dengan Indonesia malah mungkin lebih teruknya. Sehingga kini banyak kes-kes pelanggaran hak asasi manusia belum terungkap, sebut saja Tragedi 13 Mei, Tragedi Memali, Tragedi Kampung Medan dan banyak lagi yang masih tidak dituntaskan sehingga memunculkan bait-bait permusuhan di kalangan rakyat yang bersifat kaum dan agama.

Seperti di Indonesia, melupakan masa lalu yang kelam demi sebuah pekerjaan, rumah dan kereta turut dipegang majoriti rakyat Malaysia barangkali. Sistem pendidikan sejarah yang bersifat hafalan semata tanpa perlu memahami persitiwa yang berlaku dan kaitannya dengan pembinaan negara bangsa dan kemanusiaan menyebabkan majoriti dari kita semua mengabaikan sejarah.

Memahami sejarah terutama pelaku sejarah dengan berbagai kekurangan dan kelebihannya dapat menginspirasi seseorang untuk meraih nilai-nilai universal seperti keadilan, kebenaran, keberanian, toleransi, penghargaan, hak asasi manusia dan lain-lain. Kita juga dapat meneladani perilaku para pelaku sejarah, mengembangkannya menjadi inspirasi dan selanjutnya mengembangkan inspirasi menjadi aspirasi — yakni kita sebagai bakal pelaku sejarah di masa sekarang dan hadapan.

“morally judge historical events according to the standards of human and civil rights; explain the situation in the world today and find out the tendencies of change; acknowledge the traditions, characteristics, values and tasks of our nation and society; values the preservation of historical relics and old buildings; internalise basic democratic value” — (Stearns, Sexas and Weinburg, 2000:247)
Selain memahami sejarah, sudah sampai saatnya anak-anak muda bersama generasi pertengahan dan generasi emas Malaysia untuk turun menulis tentang sejarah baik di bidang politik, sukan, seni budaya, objek dan lain-lain. Jangan sekadar menulis status di facebook dan berkicau di twitter tentang itu dan ini tetapi malas membaca, meneliti apalagi turun padang. Ayuh!

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 28 Februari 2012