20 January 2012

Pekan Frinjan 26: Seni, aktivisme dan fesyen



Pekan Frinjan adalah acara bulanan yang mempersatukan muzik, puisi, teater, fesyen, aktivisme, buku dan macam-macam. Memasuki edisi ke 26, Pekan Frinjan pembuka tirai 2012 ini akan berlangsung pada hari Jumaat

http://www.facebook.com/events/257269690993788/

Tempat: Kompleks Belia & Kebudayaan Selangor di Seksyen 7 Shah Alam (depan UNISEL dan bersebelahan Taman Tasik Seksyen 7)
Tarikh: 27 Januari 2012, Jumaat
Masa: 8 malam (bazar bermula jam 5 petang)

Barisan pengkarya:

- Subculture
- Nastia
- Dum Dum Tak
- Nazim Irfan
- Gloria
- FadedFace
- Hope 2 Walk
- Penampilan 2 novel Fixi terbaru: KELABU (Nadia Khan) dan TABU (Shaz Johar)
- Pra lancar buku dokumentari Dum Dum Tak

Baucar buku RM200 boleh digunakan di booth Distro Buku!

juga pelbagai buku-buku baru dari penerbit kecil dan besar boleh diperolehi di sini. Tidak lupa untuk untuk yang suka berfesyen dan membeli belah apa saja, puluhan gerai menanti :)

Pertanyaan gerai sila emel ke frinjanbazaar@gmail.com

Tentang Pekan Frinjan

Pekan Frinjan adalah salah satu inisiatif kelompok Frinjan bertujuan untuk membudayakan masyarakat. Ini dilakukan dengan membawa pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan terus kepada masyarakat umum, khususnya di laman massa dan jalanan.

Dengan mempersembahkan seni dan budaya dalam bentuk “pop”, diharapkan masyarakat akan terus mahu mendekati bahan berteraskan intelektualisme. Ini penting dalam membentuk sebuah negara dan persekitaran bertamadun yang tidak hanya mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata.

Tentang Frinjan

Frinjan adalah sebuah kolektif longgar pengkarya dan penikmat seni budaya, dan kata 'Frinjan' diambil dari perkataan Bahasa Inggeris, 'fringe'. Resondeternya ialah untuk menganjurkan aktiviti seni budaya bersifat semi-komersil dengan suntikan literari, pembudayaan masyarakat dan pengembangan sosial.

Frinjan berpendirian untuk memanfaatkan seni sebagai medium untuk menarik perhatian masyarakat terhadap isu-isu sosial politik yang berlaku, sering bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, komuniti seni dan institusi pendidikan. Frinjan turut berhasrat untuk memanfaatkan seni sebagai medium pemerkasaan anak-anak muda untuk mendepani pemasalahan yang berlaku di mana-mana.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

012 204 4557 : Paan (Bazar dan pengkarya)
014 660 9066 : Fairuz (Pengurus Pentas)
012 664 8873 : Hadi ( Pasar Buku)

atau emel ke frinjan@gmail.com

Facebook: http://www.facebook.com/frinjan
Twitter: @frinjan
Blog: http://frinjan.blogspot.com/

Pekan Frinjan 26 ini dianjurkan oleh Komuniti Frinjan dengan sokongan dari GEN-S, Tourism Selangor dan turut dibantu oleh MBSA

Terima kasih! :)

11 January 2012

Buku baru terbit! Punk Rock: Disebalik Fesyen dan Muzik Bising



Buku setebal 136 muka surat yang menampilkan tulisan mengenai PUNK ROCK dari 10 orang punk rocker SUDAH SIAP untuk anda miliki. Cuma perlu bayar RM20 (harga termasuk kos penghantaran) untuk sebuah buku. Beli secara wholesale sebanyak 5 naskah dengan harga RM80 ppd, dan 10 naskah RM140 ppd.

Cara memesan buku Punk Rock: Disebalik Fesyen dan Muzik Bising

1.Masukkan RM20 (harga ini termasuk kos penghantaran) ke mana-mana akaun bank Ahmad Nizamuddin Bin Abdullah yang berikut:

Maybank: 162441057901
CIMB: 14210065808522

2. Lampirkan bukti pembayaran melalui emel nizangmosh@gmail.com, atau MMS ke 0179639316 atau sekadar beritahu waktu transaksi.

3. Sila nyatakan alamat dan no telefon

4. Penghantaran akan dibuat seminggu sekali.


Terima kasih.

03 January 2012

Wacana Diskopi (Siri II): Negara dan Representasi Politik

http://www.facebook.com/events/210437175712053/

Negara, adalah hal yang tak pernah kita minta, tak pernah kita mohon. Kita (sebagai rakyat Malaysia) dilahir, terus-terus dengan negara. Kerana bukan sesuatu yang kita perjuangkan dari awal, maka kita sering alpa mengenai makna negara ini. Sebetulnya: apa makna negara ini?

Memang, jawapannya ialah: negara adalah sebuah representasi politik. Setiap dari perbezaan yang terdapat dalam sesebuah negara, itu akhirnya bertemu pada kepentingan bersama. Kepentingan itu yang dinamakan sebagai representasi politik. Tapi, sejauh manakah representasi politik itu benar-benar mewakili kehendak rakyat? Mungkinkah selama ini representasi yang kita dambakan itu hanyalah sebuah pseudo, yang cuba untuk mengelabui kita tentang apa yang terdapat dalam realiti semasa?

Kerana itu, kita perlu berbicara-semula tentang kata “kuasa rakyat” ini. Sebab, rakyatlah yang menjadi inti kepada negara. Rakyatlah yang memberi legitimasi kepada negara. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan “kuasa rakyat” ini? Adakah “kuasa rakyat” memang jadi landasan terhadap semua representasi politik, yang kemudiannya menghasilkan negara itu? Dan, bagaimana pula sekiranya “kuasa rakyat” tersebut dimanipulasi oleh kekuasaan, yang sudahnya menenggelamkan semua realiti dari aspirasi rakyat?

Atau, ke tahap yang lebih ekstrim lagi: apakah kita maseh perlu negara lagi? Sebab, beberapa sejarah menunjukkan betapa akhirnya negara jugalah yang mencekik setiap unit dalam masharakat. Negara, yang kita harap menjadi naungan untuk kita berteduh, akhirnya menjadi musuh yang terpaksa kita perangi hari-hari. Ini yang terjadi dalam kesah negara-negara fasisme. Di mana negara mula menindas rakyatnya, maka cita-cita murni dari tertubuhnya negara itu --dengan sendirinya—telah berakhir.

Wacana, sama ada untuk diteruskan konsep negara, atau dibubarkan negara, atau sebarang alternatif lain, adalah wacana yang harus kita bincangkan. Dari tingkat abstrak yang falsafi, kita harus turunkan wacana ini ke dalam bentuk nyata yang realistik. Ini adalah wacana masa depan, yang harus kita persiapkan awal-awal. Tatkala masharakat mula terpencar, mula kompleks, maka harus ada hal yang dapat mempersatukan kita dari terus bertelingkah. Jika negara maseh jadi harapan: persoalannya, negara yang bagaimana? Dan, jika bukan negara lagi yang jadi harapan: justeru apa alternatifnya?

Semua wacana ini akan kita ungkapkan dalam Wacana Diskopi siri yang ke-II. Sama ada kita bersama dengan idea panelis, atau melawan idea panelis, yang penting adalah mendapatkan sebuah muafakat bersama. Setidaknya, sebuah muafakat untuk kita saling- berbeza. Untuk itu, semua yang berminat untuk terlibat dalam wacana mendesak ini adalah dialu-alukan untuk hadhir memeriahkan. Butirannya adalah:

Wacana Diskopi (Siri-II): Negara dan Representasi Politik -- Apa yang dimaksudkan dengan "Kuasa Rakyat"?
Panelis: Firdaus Zolkifli (aka Mesin Cetak) & Fahmi Reza
Masa: 08:30mlm - 10:30mlm
Tarih: 11 Januari 2012 (Rabu)
Tempat: Distro Buku, UKM Bangi

Sampai jumpa!

29 December 2011

Pekan Frinjan 2012: Seni, aktivisme & fesyen

Salam tahun baru,

Syukur kepada Tuhan, Pekan Frinjan akan kembali pada tahun 2012 berkat sokongan dari Gen-S dan pihak pengurusan Kompleks Belia & Kebudayaan Selangor dan sedar tidak sedar, tahun 2012 merupakan tahun keempat siri Pekan Frinjan.

Pekan Frinjan 2012 akan dikendalikan sepenuhnya penggiat dan peminat seni generasi baru yang akan dikoordinasi Paan bersama teman-teman lainnya. Hal ini meneruskan usaha regenerasi dari masa ke semasa yang dilakukan Komuniti Frinjan selaras dengan perkembangan masa.

Pekan Frinjan bermula pada 1 Mac 2009 hasil cetusan idea Amri Rohayat yang kemudiannya digabungkan konsepnya bersama Alina Abdullah dan Zulhabri Supian.

Tentang Pekan Frinjan

Pekan Frinjan adalah acara bulanan yang mempersatukan muzik, puisi, teater, fesyen, aktivisme, buku dan macam-macam. Ringkasnya Pekan Frinjan adalah medan pertemuan seni, aktivisme dan fesyen.

Pekan Frinjan adalah salah satu inisiatif kelompok Frinjan bertujuan untuk membudayakan masyarakat. Ini dilakukan dengan membawa pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan terus kepada masyarakat umum, khususnya di laman massa dan jalanan.

Dengan mempersembahkan seni dan budaya dalam bentuk “pop”, diharapkan masyarakat akan terus mahu mendekati bahan berteraskan intelektualisme. Ini penting dalam membentuk sebuah negara dan persekitaran bertamadun yang tidak hanya mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata.

Tentang Frinjan

Frinjan adalah sebuah kolektif longgar pengkarya dan penikmat seni budaya, dan kata 'Frinjan' diambil dari perkataan Bahasa Inggeris, 'fringe'. Resondeternya ialah untuk menganjurkan aktiviti seni budaya bersifat semi-komersil dengan suntikan literari, pembudayaan masyarakat dan pengembangan sosial.

Frinjan berpendirian untuk memanfaatkan seni sebagai medium untuk menarik perhatian masyarakat terhadap isu-isu sosial politik yang berlaku, sering bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, komuniti seni dan institusi pendidikan. Frinjan turut berhasrat untuk memanfaatkan seni sebagai medium pemerkasaan anak-anak muda untuk mendepani pemasalahan yang berlaku di mana-mana.

Tarikh-tarikh Pekan Frinjan 2012

Semua acara Pekan Frinjan pada 2012 berlangsung pada hari jumaat mulai jam 5 petang sehingga larut malam bertempat di Kompleks Belia & Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, Shah Alam.

27 Januari
24 Februari
30 Mac
27 April
25 Mei
29 Jun
28 September
2 November
30 November
28 Disember

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

012 204 4557 : Paan (Bazar dan pengkarya)
014 660 9066 : Fairuz (Pengurus Pentas)
012 664 8873 : Hadi ( Pasar Buku)

atau emel ke frinjan@gmail.com untuk pertanyaan tentang slot persembahan dan pertanyaan umum lainnya

untuk pertanyaan bazar, sila emel ke frinjanbazaar@gmail.com

Join Facebook Group kami bernama "http://www.facebook.com/frinjan"

http://frinjan.blogspot.com

Terima kasih :)

Gerakan mahasiswa - politik nilai atau politik kekuasaan?

Oleh Zulhabri Supian

Gerakan mahasiswa sebagai barisan ketiga di Malaysia? Persoalan ini sering dibangkitkan setiap kali berlabuh punggung di restoran mamak. Banyak yang merasa skeptikal dari yang merasa optimis dan ini tidak menghairankan kerana sejak adanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang digubal oleh kerajaan Malaysia dan diperkenankan oleh raja pada 27 April 1971, gerakan mahasiswa malap sekali. Sebaliknya mahasiswa pasca-AUKU terutama yang mengaji di universiti awam sangat terkenal dengan kehebatan di medan peperiksaan dan kelemahan di dalam medan kehidupan sebenar.

Namun tanggal 17 Disember 2011 merubah skeptikal meninggi itu kepada sedikit harapan apabila Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bersama hampir 500 orang seperti yang diberitakan, majoritinya mahasiswa berarak ke ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur bagi menuntut kebebasan akademik yang lebih besar di negara ini. Bantahan itu secara kebetulan serentak dengan perbincangan meja bulat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Di dalam aksi bersejarah itu, SMM dan BEBAS menuntut pemansuhan AUKU dan Akta Institusi Pendidikan dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang didakwa mencabul hak asasi. Ia dibuat bersama tuntutan lain melibatkan kebebasan akademik di universiti, hak terlibat dalam politik dan autonomi mahasiswa di kampus. Tambah heboh adalah tindakan seorang maha siswa bernama Adam Adli Abdul Hamid yang telah menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kemudiannya memicu pandangan pro dan kontra masyarakat.

Sebelum itu, harus diketahui bahawa SMM ditubuhkan pada tahun 2001 dan mula bergiat cergas pada tahun 2003 dengan membawa isu-isu mahasiswa seperti contohnya pada 2008, SMM menampilkan alternatif undang-undang yang diberi nama ‘Magna Carta’. Undang-undang tersebut adalah cadangan mahasiswa yang SMM masukkan ke dalam setiap peti surat Ahli Parlimen dan mereka menuntut dimansuhkan Auku dan Magna Carta sebagai ganti. Jadi aksi 17 Disember tersebut merupakan kesinambungan terhadap seluruh kerja yang telah dilakukan mereka selama ini.

Namun tetap ada persoalan besar di sini iaitu adakah gerakan mahasiswa seperti ini akan berjaya menarik imaginasi majoriti mahasiswa seperti yang berlaku di Indonesia pada 1998? Mari kita semak apakah inti gerakan mahasiswa di sana?

Gerakan Mahasiswa Indonesia 1998 adalah kemuncak gerakan mahasiswa dan gerakan rakyat pro-demokrasi pada dekad 90an. Gerakan ini menjadi fenomena kerana dianggap berjaya memaksa Soeharto berundur dari Jabatan Presiden Republik Indonesia pada tanggal 21 Mei 1998. Meskipun salah satu agenda perjuangan mahasiswa menuntut jatuhnya Presiden tercapai, namun banyak yang menilai agenda reformasi yang dituntut mahasiswa belum tercapai atau malah gagal hingga kini. Tuntutan-tuntutan mereka adalah;

1- mengadili Soeharto dan kroni-kroninya
2- melaksanakan pindaan UUD 1945 (Perlembagaan Indonesia)
3- Penghapusan dwi fungsi ABRI (Angkatan Bersenjata Republik Indonesia)
4- pelaksanaan autonomi daerah yang seluas-luasnya
5- menegakkan kedaulatan undang-undang
6- menciptakan pemerintahan yang bersih dari kronisme, kolusi dan nepotisme

Meskipun gerakan mahasiswa di Indonesia semakin melemah akibat perampasan dan seterusnya pembelotan agenda mereka oleh ahli politik dengan kuda tunggangan mereka iaitu parti politik, Sondang Hutagalung telah menggemparkan Indonesia pada 7 Disember lalu dengan membakar dirinya di hadapan Istana Presiden di Jakarta Pusat dan kemudiannya meninggal dunia pada 10 Disember sebagai protes kepada pemerintahan Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang dianggap tidak memberi kebaikan kepada rakyat terbanyak. Soalnya sekarang adakah aksi mahasiswa undang-undang dari Universiti Bung Karno (UBK) itu akan memercik semula api kebangkitan gerakan mahasiwa melawan pemerintahan SBY dan seluruh parti politik di Indonesia? Kita tunggu dan lihat.

Gerakan politik nilai melawan gerakan politik kekuasaan

Meskipun begitu, ada suatu hal yang menarik dan elok dipelajari dan diaplikasikan gerakan mahasiswa di Malaysia dari saudara seberang kita. Seorang aktivis di Indonesia bernama Fadjroel Rahman pernah menulis bahawa gerakan mahasiswa di Indonesia membawa gerakan politik nilai kerena kepentingan pertama yang diperjuangkan mereka adalah nilai-nilai atau sistem nilai yang sifatnya universal seperti keadilan sosial, kebebasan, kemanusiaan, demokrasi dan solidariti kepada rakyat yang tertindas dan sangat waspada dengan gerakan politik kekuasaan yang menjadi ciri khas parti politik, dimana penetapan agenda dan matlamat politik mahupun pemilihan lawan dan kawan politik semata-mata sebagai urusan taktik dan strategi untuk memperkuat dan mengukuhkan posisi politiknya dalam percaturan merebut kekuasaan sekarang dan di masa depan.

Adalah sangat penting untuk gerakan mahasiswa di Malaysia tidak terjebak dengan kancah politik kekuasaan atau politik kepartian Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang terlihat sangat menebal di dalam kampus terutama di kalangan aktivis mahasiswa. Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa gerakan politik kekuasaan yang dibawa Pakatan Rakyat juga menjunjung tinggi politik nilai, hal ini tidak boleh dijadikan sandaran yang kuat untuk bersikap menyebelahi buta ke arah mereka. Lihat apa yang terjadi di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat? adakah politik nilai dijunjung tinggi mereka? Meskipun masih di tahap baik, ciri-ciri khas Barisan Nasional semakin hari semakin terserlah di sana sini walau masih sukar mengatasi Barisan Nasional tatkala ini.

Tindakan SMM mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah berhubung isu KUIN wajar dipuji dan tindakan tidak memilih bulu seperti ini wajib dipertingkat supaya gerakan mahasiswa mempunyai kredibiliti yang tinggi di kalangan mahasiswa seMalaysia. Usah gentar dengan kecaman-kecaman dari parti-parti politik seandainya aktivis mahasiswa benar-benar serius membawa agenda mahasiswa dan masyarakat, lainlah kalau mereka sudah memasang niat menjadi calon wakil rakyat di atas kapasiti parti politik sedia ada. Harus ditegaskan bahawa pindaan atau pemansuhan AUKU sebenarnya ditakuti gerakan politik kekuasaan kerana hilangnya AUKU memungkinkan kembalinya gerakan politik mahasiswa berasaskan nilai yang sedia membungkam tidak kira siapa.

Sebagai penutup, ada satu hal yang penting untuk gerakan mahasiswa kembali hidup dan segar di Malaysia iaitu kepentingan mengembalikan gerakan mahasiswa seperti dekad 60an dan 70an yang tidak dimonopoli gerakan mahasiswa Islam dan Cina totok. Gerakan mahasiswa wajib lebih inklusif merangkul semua golongan baik mereka itu kaki clubbing, kaki main judi, kaki futsal, kaki EPL, kaki gig, kaki Topman/Uniqlo, kaki Redbox, kaki pergaulan bebas, kaki memancing, kaki cari bapok dan bermacam-macam jenis kaki lagi yang semuanya tidak menyukai teriakan takbir membabi buta apatah lagi menghadiri usrah yang membosankan. Ingat! sebuah gerakan mahasiswa yang suka menentang konsert hiburan (bukan ‘hiburan Islam’) di dalam kampus mahupun luar kampus pastinya akan gagal dan wajib selamanya digagalkan.

tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 25 Disember 2011