oleh Zulhabri Supian
Laman FB acara KLAB 2012: https://www.facebook.com/events/143446849112789/
Hujung minggu ini tanggal 23 dan 24 Jun jika anda di Kuala Lumpur atau Lembah Klang, silakan berkunjung ke sebuah pesta buku alternatif yang dinamakan KLAB (Kuala Lumpur Alternative Bookfest) di Annexe Gallery, Central Market. Kenapa saya mempromosinya? KLAB mempunyai pertalian personal yang dekat dikeranakan dari edisi pertama hingga keempat pada tahun lepas dikelola oleh saya bersama tokoh penerbitan “indie”, Amir Muhammad dan tokoh Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik. Hanya saja tahun ini yang memasuki edisi kelima saya tidak terlibat kerana sedang berkelana di pulau seribu pura.
Idea awal KLAB dicetuskan oleh Amir dan langsung disambut saya yang kebetulan berfikir idea yang sama, cuma bezanya Amir melontarkan dan saya sekadar menyimpan di dalam hati. Asal muassalnya saya terinspirasi dengan beberapa pesta buku di Indonesia yang saya hadiri sekitar tahun 2004 hingga 2008 yang temanya lebih meriah, berani dan beragam dan lantas tertanya-tanya adakah hal serupa boleh diwujudkan di KL? Nah itu dia, euforia kemenangan menidakkan 2/3 majoriti Barisan Nasional di parlimen membuahkan semangat yang berkobar-kobar ke dalam diri saya dan tidak lama berselang dari tsunami 8 Mac, kemudian lahirlah KLAB pada 3 Mei 2008.
Secara umum, KLAB tidak jauh berbeza dari pesta-pesta buku lain seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang gah dan super meriah dengan kehadiran pelajar sekolah dan kanak-kanak riang ria kerana aktiviti utama tetap sama iaitu menjual buku serta sebagai platform untuk melancarkan buku, diskusi dan bermacam lagi. Cuma yang membezakannya hingga terpaksa sengaja atau tidak sengaja dinamai alternatif adalah disebabkan beberapa hal;
● Kebanyakan produk yang dijual di KLAB temanya agak berani dalam erti kata kritikal terhadap kerajaan yang memerintah Malaysia dan untuk produk yang tidak kritikal terhadap pemerintah terutama penerbitan sastera popular dan urban kontemporari, produknya dicipta untuk pasaran dan gaya yang khusus.
● KLAB membuka platform untuk pembaca berjumpa dengan penulis. Lebih santai dan dekat di hati tidak seperti Pesta Buku Antarabangsa yang terlalu besar dan kurang interaksi pembaca dan penulis.
● KLAB menyatukan penerbitan buku bersemangat sama dalam bahasa yang berbeza baik dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin dan lain-lain.
● Kesemua produk yang dijual di KLAB berharga kurang daripada RM100.
Pada awalnya saya dan Amir bercita-cita besar untuk membawa idea KLAB ke luar Kuala Lumpur namun sehingga kini cita-cita tersebut belum terwujud. Meski demikian semangat KLAB dalam versi dan skala berbeza telah berjaya sampai ke Selangor melalui Pekan Frinjan, Pulau Pinang melalui Little Penang Street Market, Ipoh melalui Projek Rabak, Johor Baru melalui Gobok Buku dan barangkali banyak lagi yang tidak saya ketahui.
Buku indie
Bila berbicara tentang apa itu buku indie, jarang kita dapat mencapai kata sepakat. Itu tidak mengapa dan bagi saya biarkan kontestasi makna terus bergulir seperti mana polemik tanpa sudah tentang apa itu muzik mainstream dan muzik indie. Apa yang harus kita sepakati adalah jalani sahaja apa yang diperbuat, jika menulis ya teruskan menulis, jika menerbit teruslah menerbit dan jika menganjurkan acara kekalkan selamanya. Bagi saya sendiri, makna buku indie sangat sederhana iaitu sebuah buku yang ingin kita terbitkan sendiri atau diterbitkan dan kemudian berjaya tanpa banyak dihalangi serta dikawal idea dan proses kreatifnya.
Ruhayat X atau Amri Ruhayat adalah pelopor awal Komuniti Frinjan (Frinjan dalam bentuk organisasi tidak rasmi, bukan idea “frinjan” yang bebas organisasi) yang pada awalnya digerakkan bersama-sama saya dan seorang lagi penulis dan pelukis, Alina Abdullah dan kini kelangsungannya berada di bawah kendali anak-anak muda seperti Farhan Azahan dan rakan-rakan. Program utama Komuniti Frinjan adalah Pekan Frinjan yang dilangsungkan di Shah Alam sebagai upaya pengembangan aktiviti seni dan budaya kontemporari/alternatif ke luar Kuala Lumpur dan syukur sehingga kini telah berjaya dijalankan sebanyak 28 kali.
Namun apa guna 28 kali seandainya tidak ada impak positifnya dan ini yang membuat saya dan teman-teman bersyukur kerana sejak Pekan Frinjan pertama pada Mac 2009 dengan hanya beberapa judul buku dari beberapa penerbit, kini angkanya bertambah berkali-kali lipat.
Hingga kini, judul buku indie menghampiri angka 100 bahkan mungkin lebih mengingat tidak ada data khusus melainkan apa yang terdata di senarai buku untuk dijual yang saya perolehi dari Distro Buku. Beberapa penerbit yang lagi naik daun (sedang aktif dan bersemangat waja) adalah Sang Freud Press, Fixi, Moka Mocha Ink, Selut Press, Siluet Books, Lejen Press, Dubook Press, Jargon Books, Puisi Jadi Senjata, Moque Press, Sindiket Sol-jah, Merpati Jingga, Buku Hitam Press dan yang terbaru Obscura.
Apa yang membezakan penerbit-penerbit ini dengan penerbit lain (penerbit besar sebagai contoh) adalah mereka menggunakan media sosial seperti Facebook, Blog dan Twitter untuk promosi juga pembelian dan kebiasaannya penulis turut terlibat secara langsung juga. Selain itu mereka menggunakan pendekatan gerila untuk mencari dan membuka pasar seperti yang dilakukan Lejen Press dengan turun ke acara-acara seperti Pekan Frinjan, acara di dalam kampus dan banyak lagi. Pendekatan ini harus dipuji kerana sedikit sebanyak memecahkan tembok eksklusif buku yang selama ini dilihat tidak ramah kerana hanya boleh diperolehi di kedai-kedai buku.
Semoga kisah-kisah indah dunia perbukuan indie ini akan terus bertahan dan tidak hanyut dalam krisis substansi dan rasa “best” seperti yang terjadi kepada pembikin T-shirt indie yang marak beberapa tahun dahulu dan kini sepi tanpa berita. Saya lebih optimis dengan dunia perbukuan seperti mana optimisnya saya dengan dunia muzik dan perfileman indie lokal kerana mengetahui di dalamnya banyak manusia-manusia yang teruji semangat, upaya dan eksekusinya selama ini.
Hanya saja di dalam optimisme ini kita dihadirkan dengan berita pengharaman buku berjudul “Allah, Kebebasan dan Cinta” karya Irshad Manji terbitan ZI Publication dan pendakwaan kepada seorang pengurus kedai buku Borders di pusat membeli belah Mid Valley atas tuduhan mengedar buku tersebut. Berita ini sangat meresahkan dan bersempena KLAB hujung minggu ini, mari kita semua; dari pembaca, penulis dan penerbit bersatu melawan pengharaman buku dan pendakwaan oleh JAWI yang tidak profesional.
Dilarang melarang!
Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 21 Jun 2012