27 August 2012

Pelancongan couch surfing dan komuniti


oleh Zulhabri Supian

Sejak wujudnya AirAsia serta maraknya industri penerbangan berbiaya rendah, melancong, bercuti atau mengembara ke luar negara semakin menjadi penting dan perlu bagi rakyat Malaysia seperti mana pentingnya memiliki kereta dan rumah.

Saya masih ingat 14 tahun lalu setelah tamat SPM, saya dan kawan-kawan sering bercuti tetapi hanya di dalam negara kerana alasan praktiknya, faktor kewangan selain dari  alasan politik, iaitu kesedaran untuk menjelajah negara sendiri dahulu sekaligus menyumbang kepada perekonomian domestik yang sedang parah pada waktu itu akibat krisis ekonomi 1998.

Saya dan kawan-kawan sejak dari awal menganut fahaman pragmatik dalam percutian yang bererti boleh saja merancang perjalanan sendiri mahupun membeli pakej pelancongan yang ditawarkan melalui pameran “Cuti-Cuti Malaysia” yang kerap diadakan pada waktu itu. Untuk kami soal true (istilah kononnya untuk pengembara sejati atau backpackers) atau tidak bukan persoalan kerana yang diutamakan adalah pertimbangan kewangan.

Namun kini suasana telah berubah, mereka yang baru meninggalkan bangku persekolahan dan masih menuntut di institusi pengajian tinggi diberikan pilihan yang lebih luas; bercuti di dalam negara mahupun luar negara dan bagusnya kedua-duanya murah asalkan pintar dalam merancang dan mengambil peluang (tiket murah).

Secara peribadi saya tidak pernah merasa dengki terhadap generasi pasca-AirAsia ini melainkan merasa sangat bahagia kerana merekalah generasi masa depan (generasi Bersih) setelah generasi reformasi yang sudah memasuki umur 30an banyak menceburkan diri di dalam politik dan memasuki ruang-ruang penting baik di institusi kerajaan mahupun swasta.

Menjadi harapan saya dan semua bahawa generasi yang terbiasa bercuti di luar negara ini akan lebih terbuka dan luas cara pandang dan wawasannya.  Meskipun begitu untuk memperoleh ini tidaklah mudah melainkan punya kecerdasan dalam bercuti dan di sini saya ingin mengesyorkan anak-anak muda untuk mencuba dua jenis pelancongan yang sangat baik untuk pembentukan karakter dan pemikiran.

1) Pelancongan couch surfing

Couch surfing mendeskripsikan laman jaringan mereka sebagai “to meet people and then go and surf other members couches!” Ketika melakukan “surf a couch”, kita menjadi tetamu di rumah anggota lain. Biasanya tuan rumah menyediakan tempat tinggal berupa bilik, sofa, lantai atau di mana sahaja mata boleh dilelapkan. Kunjungan boleh datang dalam bentuk minum kopi, lepak di mamak, tidur satu malam hingga ke beberapa malam.

Selama di Bali saya sudah menjadi tuan rumah untuk 5 anggota dari negara berbeza; England, Lithuania, Brazil, Perancis dan Amerika Syarikat dan minggu ini menanti tetamu dari Russia dan Banjarmasin, Indonesia. Manakala sebagai tetamu saya pernah merasainya sekali di Surabaya dan pengalamannya sangat menyenangkan.

Bagi saya pelancongan couch surfing sangat bermanfaat kerana kita mempunyai ruang untuk berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dengan tuan rumah atau tetamu kita. Sebagai tetamu, melalui pelancongan seperti ini kita mendapat pengalaman sebagai orang tempatan yang jarang dan sukar diperoleh jika sekadar menginap di hotel-hotel. Manakala sebagai tuan rumah kita turut berpeluang “melancong” secara semangat tanpa berpergian apatah lagi jika mereka berasal dari benua Eropah, Amerika Selatan dan Afrika yang secara fizikal keberadaannya sangat jauh. Tambah menguntungkan jika menjadi tuan rumah yang baik, kita berpeluang melancong ke benua mereka di masa akan datang dengan biaya murah dan merasai pengalaman lokal yang hadir bersama kemesraan dan keramahan yang sudah terjalin sebelumnya.

Namun hal terpenting dari jenis pelancongan ini adalah mencari titik kebersamaan antara tuan rumah dan tetamu, couch surfing adalah medan terbaik para anggota untuk melawan perkauman, prejudis, kebencian serta kesalahfahaman apa pun seperti misalnya; Islam dan Barat dan lain-lain yang masih kuat tertanam tidak kira apa warna kulit, agama dan geografinya.

2) Pelancongan komuniti

Cara melancong seperti ini tidak semudah couch surfing yang dibekalkan dengan laman web khusus untuk kita mencari dan membuka hubungan. Pelancongan komuniti sifatnya lebih khusus dan sulit ditembusi kerana dua hal penting ini menentukan iaitu jaringan dan kesamaan minat.

Namun jika berjaya ditembusi, saya menjamin kebahagiaan adalah hal yang pasti. Pengalaman peribadi saya bercuti dengan komuniti selama ini cukup membuktikan; keakraban sebagai saudara dan kebersamaan dalam perjuangan adalah perolehannya. Hal ini sangat saya rasakan bersama Komuniti Taman 65 di Bali (komuniti diskusi dan belajar yang berfokus pada isu-isu hak asasi manusia dan keadilan sosial tentang peristiwa 65 di Bali) di mana saya bergabung di dalamnya sekarang dan sedang melakar projek bersama di dalam masa terdekat iaitu Festival Bali Beza selepas hari raya nanti. Namun untuk mencapai hal seperti ini memerlukan banyak proses dan tidak segera sifatnya.

Sebenarnya pelancongan jenis ini tidaklah terlalu sulit untuk ditembusi seandainya kita punya kemahuan dan kerendahan diri, hanya dua yang dilarang di sini iaitu eskploitasi dalam apa bentuk sekalipun dan ketamakan. Sebaliknya yang diperlukan dan dihargai di sini adalah ideologi, kejujuran dan keupayaan untuk bertahan lama. Apa yang terpenting pilihlah komuniti yang dekat dengan minat dan perjuangan anda; boleh saja sastera, alam sekitar, aktiviti lasak, politik dan macam-macam.

Semoga tulisan ini bermanfaat dan segeralah merancang percutian anda kerana hujung tahun semakin menghampiri yang bermakna cuti harus dihabiskan bagi sebahagian mereka yang bekerja stabil. Kepada pekerja tidak stabil, apa tunggu lagi? Selamat merancang dan bercuti!

Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 31 Julai 2012