Berawal dari perbualan dengan rakan kongsi di Bali, Termana merangkap pemandu kereta semasa membawa pelancong Malaysia mengelilingi Pulau Bali, maka lahirlah idea tentang 'Bali Beza'. Melihat kondisi Bali yang semakin kelam, penzahiran idea yang sudah lama tercetus di benak pemikiran kami berdua ini tidak boleh ditangguh.
Oleh kerana kami terlibat dalam dunia pelancongan, "Bali Beza" adalah konsep yang dicipta kami untuk 'menjual' Bali pertama, secara perniagaan dan kedua, secara pengetahuan. Oleh kerana sudah lama kami bebelkan tentang permasalahan yang dihadapi Bali, maka konsep pertama kami mulai dengan menubuhkan 'Alt-ourism Asia Bali', sebuah ejen pelancongan alternatif yang berakar kepada pemberdayaan masyarakat Bali dan pencerahan kepada pelancong yang berkunjung.
Seterusnya konsep kedua - membawa apa yang kami takrifkan sebagai Bali yang berbeza ke Malaysia dan syukur berkat bantuan komuniti Frinjan, penerbit buku Gerakbudaya dan beberapa individu lain, idea ini akan menjadi kenyataan 30 September nanti di Map @ Publika, Solaris Dutamas.
Sebetulnya, acara 'Bali Beza' bukanlah kebenaran mutlak dalam erti Bali yang ada sekarang tidak mewakili Bali, beza yang dimaksudkan di sini bertujuan untuk memberikan sisi lain Bali yang jarang ditampilkan dalam risalah pelancongan dan media. "Bali Beza" (juga beza di tempat lain) amat penting supaya pengetahuan kita tentang sesuatu tempat itu lebih objektif dan luas, bahkan pada saya pengetahuan tentang beza itu adalah ilmu asas. Berikut tiga program utama yang telah disusun.
Diskusi Bali Beza
Secara sengaja, kami memilih tarikh 30 September untuk menayangkan filem “40 Years of Silence: An Indonesian Tragedy” karya Robert Lemelson - ahli antropologi lulusan Universiti California dan mendiskusikan buku berjudul "Melawan Lupa: Narasi-Narasi Komunitas Taman 65 Bali" - sebuah kompilasi tulisan anak muda Bali yang terkena dampak tragedi.
Berbeza dengan filem dokumentari rasmi “Pengkhianatan Gerakan 30 September Partai Komunis Indonesia” atau singkatannya “Pengkhianatan G-30S-PKI” yang semasa Presiden Soeharto berkuasa selalu ditayang setiap 30 September oleh seluruh stesen televisyen nasional, filem “40 Years of Silence: An Indonesian Tragedy” menceritakan tragedi pembantaian itu dari empat sudut berbeza. Keempatnya berasal dari latar belakang keluarga yang berbeza dan salah satunya merupakan anak pemimpin parti pro PKI di Bali.
Robert Lemelson telah mewawancara ribuan orang yang terkena stigmatisasi dan intimidasi kerana dinilai terlibat gerakan komunism atau pro-kiri. Empat puluh tujuh tahun setelah tragedi, berbagai pelanggaran hak asasi manusia terhadap keluarga dan saudara dari mereka yang dianggap terlibat gerakan komunis atau pro-kiri masih terus terjadi. Bahkan anak-anak berusia remaja yang sama sekali belum dilahirkan ketika tragedi terjadi, tetap harus memikul dampaknya.
Kondisi di Bali yang parah jelas dinyatakan dalam kata pengantar buku Melawan Lupa;
"Peristiwa kekerasan politik di Bali 1965-1966 juga berdampak pada perubahan peta sosial dan intelektual di Bali. Sekali lagi, yang dibantai pada era tersebut tidak saja orang-orang yang dituduh berafiliasi dengan PKI, tetapi juga kaum-kaum intelektual publik yang menjadi sandaran bagi rakyat untuk memperjuangkan keadilan sosial. Praktis pasca 1965-1966, dinamika intelektual publik di Bali mengalami kemunduran, yang ada justru intelektual yang mengabdikan diri pada kekuasaan Orde Baru dengan menjadi komprador-komprador investasi pariwisata yang sedang dicanangkan pemerintah pusat. Organiser-organiser rakyat yang bekerja di akar umbi juga tidak luput dari pembantaian; selain itu, depolitisasi subak dilakukan sehingga subak tidak lagi menjadi organisasi yang memiliki sistem politik dan ekonomi yang mandiri dan menjadi basis gerakan rakyat tetapi dirubah menjadi kelompok petani yang semata-mata mengurusi pembagian air"
Sastera Bali Beza
Menampilkan Frischa Aswarini, seorang penyair muda Bali yang menurut saya punya prestasi cemerlang di dalam bidang kesenian dan pemikiran. Dalam usia yang baru 21 tahun, beliau pernah menjadi pembaca puisi terbaik pada Poetry Slam Utan Kayu International Literary Biennale 2009 dan beberapa puisinya tersiar di media massa seperti Kompas, Koran Tempo, Pikiran Rakyat, Bali Post, dan Jurnal Sundih.
Apa yang saya kagumi tentang beliau adalah pemikirannya yang progresif terutama terkait isu-isu politik dan wanita dalam keadaan Bali yang dilanda konservatisme 'Ajeg Bali' (Ketuanan Bali) yang tidak mencerahkan. Sebenarnya agak menyedihkan melihat kondisi wanita Bali secara umum apatah lagi yang terlibat dalam dunia sastera. Mungkin terlalu awal menyimpulkan kerana saya masih belum mengetahui banyak tentang Bali dan wanitanya, namun persoalan seperti ini sering dipertanyakan di sana, "Bagaimana perempuan muda di Bali boleh belajar sastera, bukankah perempuan Bali hanya disibukkan dengan upacara keagamaan?. Begitu juga fakta bahawa tatanan masyarakat Bali yang mengusung sistem patrilinear menghambat pertumbuhan budaya sastera wanita di Bali.
Konsert Muzik Bali Beza
Menampilkan Nosstress, 3 anak muda yang berbasis di Denpasar - sebuah kota yang sentiasa hiruk pikuk seperti digambarkan dalam lagu "Hiruk Pikuk Denpasar" yang termuat dalam album pertama mereka, "Perspektif Bodoh".
Suara bising bukan asing lagi
Kepulan asap kendaraan menjejal pagi
Bangunan tampak berdiri di sana sini
Yang terlihat cuma fatamorgana sunyi
Orang-orang sudah enggan berjalan kaki
Matahari sudah bukan sahabat kita lagi
Sedikit mungkin yang berpikir tentang ini
Atau harus tunggu sampai api membakar kota ini
Hiruk pikuk Denpasar
Banyak sampah berserakan di jalanan
Kebersihan bukan cuma tugas truk berbedag hijau
Ayo ikut bersihkan sampahnya perlahan
Atau harus tunggu sampai mereka menimbun kota kita
Hiruk pikuk denpasar
Nosstress membawa nafas segar kepada dunia muzik Bali yang sentiasa tenggelam dalam hiruk pikuk dunia pelancongan yang menjanjikan anak-anak muda Bali jalan pintas menuju stabil dengan bekerja sebagai pelayan di atas kapal pesiaran. Nosstress menyampaikan kritik sosialnya dengan bersahaja, pop serta santai dan berjaya menghindari retorika tanpa aksi yang sering dibawa band-band yang ingin kelihatan dekat dengan isu-isu kekinian seperti 'green' dan lain-lain. Mungkin kerana itu Nosstress diminati anak-anak remaja, kelompok sasar untuk perubahan yang penting tetapi sering diabaikan lantas dikuasai muzik-muzik yang layu lagi melayukan.
Teman di Bali, Gde Putra menulis, "Sebagian besar tema-tema lagu Nosstress mewakili hal itu (kritik sosial dan motivasi diri), sangat positive dan penuh semangat untuk tetap berjuang menghadapi hidup. Seperti dalam reff lagu Tak Pernah Terlambat dalam album ini “Tak pernah terlambat jika kau ingin berubah, hanya dirimulah yang menghambat segalanya” atau dalam lagu Bersama Kita “Semua cerita dalam setiap hidup takkan selamanya indah, takkan selamanya buruk, coba selalu hadapi”, lirik-lirik ini ibaratnya pemandu sorak kepada manusia yang berjuang untuk survive di saat ketidakpedulian antar sesama semakin terasa".
Semoga dengan tampilan Bali yang berbeza, khalayak di Malaysia dapat menghargai Bali dengan lebih baik dan turut bersama-sama bersolidariti mewujudkan Bali dan bumi kita yang mampu dan layak dihuni generasi mendatang. "Malaysia Beda" juga dalam perancangan untuk dibawa ke Bali tahun hadapan memandangkan masih banyak masyarakat berpendidikan di sana yang terjebak dengan nasionalisme pembodohan dan malas membaca.
Tulisan ini pertama kali tersiar di The Malaysian Insider pada 5 September 2012. Untuk maklumat lanjut acara Bali Beza yang akan diadakan 30 September ini di Map @ Publika, sila klik di sini.
No comments:
Post a Comment